1.0 PENGENALAN
Bahasa Melayu telah
diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan sejak 1996 lagi. Hal ini demikian bagi
membolehkan bahasa Melayu menjadi salah satu tunjang Negara dalam menjadi
sebuah Negara bangsa yang mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Bahasa Melayu
diangkat sebagai bahasa kebangsaan pastinya bersebab. Bahasa Melayu merupakan
bahasa yang indah, lembut dan mempunyai strukturnya yang tersendiri dan unik.
Namun, persoalannya ialah, adakah bahasa yang diangkat dan diharapkan
berkembang itu ialah bahasa baku ataupun pasar? Yang manakah perlu dilestarikan
dan diaplikasikan dengan baik? Bahasa yang manakah betul dan yang mana yang
salah? Adakah aspek tatabahasa perlu diambilkira dalam isu memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Sesungguhnya, Bahasa Melayu yang diangkat
menjadi bahasa kebangsaan dan perlu dimartabatkan penggunaannya dalam setiap
aspek adalah bahasa Melayu baku, bukannya bahasa Melayu pasar. Namun begitu,
masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang hanya tahu bahawa bahasa
kebangsaan kita adalah bahasa Melayu, namun tidak mengetahui hakikat yang
sebenarnya. Oleh itu, setiap aspek perlu benar-benar diambilkira dalam
memartabatkan bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan.
2.0 PERBINCANGAN
2.1 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA
KEBANGSAAN
Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan amatlah penting dalam membicarakan soal bahasa Melayu.
Sesungguhnya Perkara 152 ini telah menyatakan dan mengiktiraf bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara kita, Malaysia. Sebagai
warga Malaysia yang merdeka, semestinya kita harus berasa bangga kerana
memiliki bahasa tersendiri sebagai identiti jati diri yang unggul seiring
dengan tuntutan Wawasan 2020. Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai
bahasa kebangsaan malahan menjadi wadah warga Malaysia dari segenap aspek dalam
menjalankan matlamat dan agenda negara dalam konteks Negara Bangsa. Oleh hal yang
demikian, fungsi dan peranan bahasa Melayu tidak boleh dipandang enteng oleh
warga Malaysia jika mahu melihat negara kita bergerak sejajar dengan negara
lain khususnya dalam mengangkat dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu di setiap pelusuk dan antero dunia.
Status bahasa Melayu
sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tergugat di negara kita
kerana tingkahlaku sesetengah pihak yang memandang enteng terhadap kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus mengenepikan peranan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Malah kedudukan
bahasa kini mula mengalami perubahan yang besar dan nyata apabila bahasa
Inggeris digunakan secara meluas dalam lapangan ilmu Sains dan Matematik,
seterusnya seolah-olah menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahan dan
memantapkan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman. Namun,
pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dikaji dan
diselidik dengan teliti. Bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan
adalah bahasa yang baku dan bukannya bahasa pasar mahupun bahasa basahan.
Bahasa kebangsaan iaitu bahasa baku sepatutnya tidak sekadar diaplikasikan
dalam urusan-urusan rasmi, malah sepatutnya diamalkan dalam pertuturan
sehari-hari. Hal ini demikan kerana setiap individu dalam setiap lapisan
masyarakat Malaysia bertanggungjawab mengamalkan dan memelihara serta turut memartabatkan
bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan.
2.2 DEFINISI BAHASA BAKU YANG PERLU DIFAHAMI
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka Edisi Empat, bahasa baku ialah bahasa yang teratur dan mantap pelbagai
aspeknya seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa, dan lain-lain dan diterima
oleh masyarakat sebagai norma penggunaan yang betul, sahih atau bahasa
standard. Tidak ramai dari rakyat Malaysia yang betul-betul memahami definisi
ataupun pengertian bahasa baku. Oleh hal yang demikian, konsep bahasa baku itu
selalunya dikaitkan dengan cara sebutan semata-mata. Ditokok pula dengan penguasaan bahasa yang kurang
baik, terutama dari aspek tatabahasa, masyarakat mungkin akan menyangka bahawa
sebutan “para peniaga-peniaga” , sebagai bahasa yang sudah baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para
dan peniaga sebagai pa(ra) dan penia(ga), bukan pa(re) dan penia(ge). Hal ini
demikian mungkin kerana cara sebutan baku lebih menarik dan menjadi perhatian masyarakat
berbanding dengan cara pembakuan bahasa yang lain.
Sebenarnya,
kebakuan bahasa bukan sahaja dari aspek sebutan, tetapi juga dari aspek
tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Oleh sebab itu, “para-para peniaga...”,
walaupun dituturkan dan disebut dalam sebutan baku, bukan suatu bentuk yang
baku kerana mengandungi kesalahan dari segi pembentukan ayat. Terdapat banyak
lagi tanggapan salah terhadap pembakuan bahasa. Ayat-ayat yang disebut dengan
bunyi baku dianggap benar-benar baku walaupun ianya bukan suatu bentuk yang
baku kerana mengandungi kesalahan dari segi tatabahasa. Bentuk yang baku bukan
sahaja betul dan sempurna sebutannya, tetapi juga ejaan, kata, dan
tatabahasanya. Konteks yang benar mengenai bahasa baku itu perlu difahami dan
didalami oleh setiap lapisan masyarakat agar bahasa baku dapat dituturkan dan
dimasyarakatkan oleh rakyat Malaysia.
2.3 BAHASA BAKU DAN FUNGSINYA
Bahasa
baku digunakan dalam semua konteks rasmi seperti sistem pendidikan negara dan urusan
rasmi kerajaan. Pada hari ini, kita harus
menggunakan bahasa baku dalam memberikan ucapan, khutbah, ceramah, pidato,
kuliah, dalam mesyuarat atau semasa mengajar. Selain itu, kita juga harus mengaplikasikan
bahasa baku dalam urusan surat-menyurat rasmi, laporan, penulisan ilmiah,
rencana, berita, peraturan dan undang-undang, iklan, dan papan tanda di
tempat-tempat awam. Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memantapkan dan
memperlengkap aspek-aspek bahasa supaya
bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistemnya dari aspek
ejaan, tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, gaya bahasa dan
larasnya, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan.
Bahasa
sebagai suatu sistem sememangnya perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi
bahasa yang sempurna. Sekiranya bahasa dibiarkan berkembang sendiri, ia akan
kehilangan sistemnya. Tanpa sistem,
bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa
tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sesebuah negara. Penstrukturan dan
pengembangan bahasa Melayu difokuskankan pada pembakuan agar tercapai
penggunaan bahasa yang tepat, jelas dan
berkesan dalam berkomunikasi. Usaha giat dilaksanakan untuk meningkatan
penguasaan bahasa dalam kalangan penutur supaya dengannya, penggunaan bahasa
baku dapat meliputi seluruh lapisan masyarakat.
2.4 BAHASA BAKU YANG TIDAK DITUTURKAN
Masyarakat pada hari
ini dalam aktiviti berbahasa, kita dapat melihat bahawa
bahasa baku jarang-jarang sekali dugunakan. Biasanya, bukan bahasa baku yang
digunakan dalam pertuturan masyarakat, tetapi bahasa basahan atau bahasa
pertuturan sehari-hari, malah sering kali juga berbentuk bahasa rojak dan juga
bahasa pasar. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana bahasa tidak dapat lari
daripada aspek sosial. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada perkara
tersebut seperti hubungan antara penutur, faktor geografi, tujuan, situasi,
status, pendidikan, usia, dan jantina. Faktor-faktor tersebut amat mempengaruhu
penggunaan bahasa. Oleh sebab itu, pastinya kita selalu mendengar ungkapan
seperti ‘apa mau’, ‘kasi tahu’, ‘banyak mahal’, ‘itu macam’, dan ‘boleh bikin’.
Malah, mungkin kita sendiri acapkali menuturkannya dalam perbualan sehari-hari
dengan teman-teman.
Bahasa baku dan bahasa pasar ini
mempunyai fungsi masing-masing dalam perhubungan. Bahasa baku digunakan dalam
situasi rasmi, manakala bahasa basahan digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari
dalam situasi tidak rasmi. Penggunaan bahasa pasar dalam perbincangan,
mesyuarat, atau seminar, akan menghilangkan kerasmian perbincangan, mesyuarat,
atau seminar tersebut. Pertukaran penggunaan kedua-dua ragam bahasa ini akan
menimbulkan gangguan terhadap komunikasi.
Kini, kita dapat melihat
penggunaan bahasa baku dalam situasi rasmi sering ‘diganggu’ oleh bahasa pasar
atau bahasa rojak. Gangguan ini dapat diperhatikan dalam ucapan, wawancara, atau
ceramah yang sepatutnya dituturkan dalam bahasa baku. Secara tidak langsung dan
sedar, kebiasaan menggunakan bahasa pasar telah membuat kita menggunakannya
dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan
inilah yang harus dielak, dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu digiatkan
untuk menanamkan dan mengembangkan pemahaman dan kecintaan dalam diri setiap lapisan
masyarakat terhadap bahasa baku.
2.5 LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU BAKU
Persoalan bahasa Melayu baku, bukanlah isu
bahasa yang betul atau tidak betul. Pembakuan bahasa Melayu merupakan rancangan
dan wawasan yang antara lain bermatlamat untuk mewujudkan masyarakat yang
padu. Usaha memperkembangkan bahasa Melayu baku di Malaysia dikatakan mendapat
sambutan yang dingin kerana banyak perubahan yang berlaku dalam tatabahasa itu
yang didakwa menjadikan masyarakat pengguna bahasa Melayu keliru. Sebagai
kesan ”perubahan yang mengelirukan pengguna bahasa Melayu (baku)”, seolah-olah
timbul keengganan untuk menggunakan bahasa Melayu baku.
Sebenarnya, andaian dan
kekeliruan ini memerlukan penjelasan dan kajian terperinci agar tidak wujud
masalah yang serius berkaitan pembakuan bahasa Melayu itu sendiri. Usaha
untuk menerangkan situasi itu terasa amat perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan
krisis ilmu bahasa dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi, sekarang ini bahasa
Melayu sedang diancam dan digugat oleh bahasa Inggeris lantaran daripada era
globalisasi dan ekonomi digital. Hal ini demikian kerana kita
mahu seluruh masyarakat tahu akan cara
menggunakan bahasa Melayu baku terutamanya dalam segala urusan rasmi. Dalam hal
ini juga, setiap ahli lapisan masyarakat harus cakna dan belajar untuk menguasai
bahasa Melayu baku.
Antara langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah
dengan menanamkan kesedaran tentang
pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak semenjak kecil. Dalam hal ini sudah pasti
tanggungjawab tersebut perlu dijalankan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai
contoh, ibu bapa perlulah menggunakan
bahasa Melayu yang betul terutamanya bahasa Melayu baku apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga mestilah menerangkan
kepentingan bahasa Melayu di negara kita agar berulangnya sejarah bahasa Melayu
yang telah dijadikan lingua franca pada zaman kehebatan kerajaan Melayu Melaka
pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat diterapkan semenjak kecil, bak
kata pepatah, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa
dan sampai bila-bila.
2.6 HALANGAN DALAM
MEMARTABATKAN BAHASA BAKU
Sungguhpun pelbagai
usaha sudah dan sedang giat dijalankan bagi memartabatkan bahasa Melayu baku,
masih terdapat pelbagai halangan yang menjadi penghalang dalam mencapai
matlamat tersebut. Halangan utama dalam memartabatkan bahasa Melayu baku adalah
wujudnya pertuturan dan penggunaan bahasa pasar. Bahasa
pasar atau basahan adalah bahasa yang digunapakai dalam pertuturan
seharian. Contohnya, masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan
sifat merendah diri terbawa-bawa dengan sikap ini apabila berkomunikasi atau
berkomunikasi dengan kaum asing. Secara tidak langsung mereka telah
menjadi model yang salah kepada orang bukan Melayu. Sebagai contoh, apabila
berkomunikasi di pasar, orang Melayu lebih gemar menuturkan bahasa pasar atau
bahasa rojak (pidgin). Tindakan ini menyebabkan kaum asing meniru model yang
dipertonton kepada mereka. Akhirnya, kaum asing dalam kelompok tersebut sukar
untuk menguasai bahasa Melayu baku yang betul sampai bila-bila pun.
Selain bahasa pasar yang
sememangnya amat sukar diubah tabiat penggunaannya, dialek juga merupakan
sesuatu yang amat membimbangkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, dialek
(dialék) bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau
oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat
daerah, negeri dan lain-lain lagi. Beberapa faktor boleh menyumbang kepada
pemilihan dan penggunaan bahasa daerah ini. Contohnya di sekolah, guru-guru
mengambil jalan ringkas dan lebih gemar menggunakan bahasa dialek atau daerah
sebagai bahasa pengantar dengan alasan murid lebih mudah memahami perkara yang
disampaikan oleh guru dan persekitaran pengajaran akan bersifat kondusif dan menghiburkan
serta mudah menimbulkan situasi mesra antara guru dan murid. Namun, tanpa
disedari sikap tidak mengambil berat ini akan melahirkan para pelajar yang
lemah dalam penguasaan bahasa Melayu. Pada hari kemudian, para pelajar itulah
juga yang akan menjadi manusia yang memegang jawatan yang penting dan
berpengaruh seperti pentadbir, penulis, pemimpin kaum dan sebagainya.
Dalam
konteks masyarakat pula, pemilihan penggunaan bahasa dialek atau daerah ini walaupun
dalam situasi-situasi rasmi adalah bertujuan memudahkan komunikasi dan juga
mewujudkan perasaan mesra sesama mereka. Sewajarnya sikap ini dielakkan
agar kekeliruan penggunaan bahasa Melayu dapat dibendung dan usaha pembakuan
itu dapat mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.
Halangan
yang seterusnya adalah slanga yang galak digunakan dalam kalangan remaja. Menurut
Kamus Oxford, slanga didefinisikan sebagai satu perbendaharaan kata yang khusus
digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah kedudukannya. Nik Safiah Karim pula
mendefinisikan slanga sebagai bahasa terhad kerana mempunyai ciri tertentu dan
hanya digunakan dan difahami oleh golongan tertentu sahaja. Manakala menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat pula, slanga ialah kata, ungkapan dan sebagainya yang
tidak tergolong dalam bahasa baku, iaitu bahasa yang digunakan dalam pertuturan
tidak rasmi. Justifikasinya, bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh
satu kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut sahaja yang dapat memahaminya.
Penggunaan bahasa slanga yang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat
terutama dalam kalangan remaja amat merisaukan ahli bahasa dan pencinta bahasa
Melayu kerana bahasa ini dikatakan akan menghalang usaha untuk memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi di negara kita. Kita tidak
mahu bahasa slanga ini berleluasa di negara kita dan secara tidak langsung mengurangkan
keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, bahasa Melayu adalah bahasa yang indah dan unik
strukturnya. Bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa kebangsaan atas
sebab-sebab yang lain. Bahasa Melayu yang indah mempunyai ramai penutur yang
menuturkannya. Oleh hal yang demikian, timbullah isu-isu dan ragam bahasa
seperti timbulnya bahasa pasar, bahasa rojak, slanga, dialek dan lain-lain yang
semakin lama, semakin mengenepikan pembakuan bahasa yang sepatutnya didahulukan
dan dimartabatkan penggunaannya. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu yang
diiktiraf adalah bahasa Melayu baku, dan bukan yang lainnya. Kekurangan penutur
bahasa Melayu baku juga amat merisaukan dan membimbangkan, apatah lagi
pemahaman mengenai definisi dan konteks pembakuan itu sendiri tipis dalam jiwa
masyarakat. Pelbagai langkah dan usaha telah, sedang dan akan dijalankan oleh
pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi membendung gejala pencemaran bahasa
serta seterusnya menaikkan kembali fungsi, kemasyhuran dan penggunaan bahasa
Melayu baku dalam kalangan masyarakat Malaysia, bukan sekadar dalam urusan
rasmi malah dalam pertuturan sehari-hari.
BIBLIOGRAFI
1. Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia.
Petaling Jaya: Fajar Bakti
2. Mohd Yusof Hasan. (2012). Minda Melayu Global.
Tanjong Malim: UPSI
3. S. Nathesan. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
4.
Dewan Bahasa dan
Pustaka. (2005) Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
5. Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa
Melayu, Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur:
PTS Professional Publishing.
No comments:
Post a Comment