Tuesday, 17 December 2013

Mister Thinker: BAHASA KEBANGSAAN : BAKU ATAU PASAR

Mister Thinker: BAHASA KEBANGSAAN : BAKU ATAU PASAR: 1.0  PENGENALAN                Bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan sejak 1996 lagi. Hal ini demikian bagi memb...

BAHASA KEBANGSAAN : BAKU ATAU PASAR

1.0  PENGENALAN               
Bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan sejak 1996 lagi. Hal ini demikian bagi membolehkan bahasa Melayu menjadi salah satu tunjang Negara dalam menjadi sebuah Negara bangsa yang mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan pastinya bersebab. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah, lembut dan mempunyai strukturnya yang tersendiri dan unik. Namun, persoalannya ialah, adakah bahasa yang diangkat dan diharapkan berkembang itu ialah bahasa baku ataupun pasar? Yang manakah perlu dilestarikan dan diaplikasikan dengan baik? Bahasa yang manakah betul dan yang mana yang salah? Adakah aspek tatabahasa perlu diambilkira dalam isu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Sesungguhnya, Bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan perlu dimartabatkan penggunaannya dalam setiap aspek adalah bahasa Melayu baku, bukannya bahasa Melayu pasar. Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang hanya tahu bahawa bahasa kebangsaan kita adalah bahasa Melayu, namun tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya. Oleh itu, setiap aspek perlu benar-benar diambilkira dalam memartabatkan bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan.

2.0  PERBINCANGAN
2.1  BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
            Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan amatlah penting dalam membicarakan soal bahasa Melayu. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah menyatakan dan mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara kita, Malaysia. Sebagai warga Malaysia yang merdeka, semestinya kita harus berasa bangga kerana memiliki bahasa tersendiri sebagai identiti jati diri yang unggul seiring dengan tuntutan Wawasan 2020. Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa kebangsaan malahan menjadi wadah warga Malaysia dari segenap aspek dalam menjalankan matlamat dan agenda negara dalam konteks Negara Bangsa. Oleh hal yang demikian, fungsi dan peranan bahasa Melayu tidak boleh dipandang enteng oleh warga Malaysia jika mahu melihat negara kita bergerak sejajar dengan negara lain khususnya dalam mengangkat dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di setiap pelusuk dan antero dunia.
          Status bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tergugat di negara kita kerana tingkahlaku sesetengah pihak yang memandang enteng terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa. Malah kedudukan bahasa kini mula mengalami perubahan yang besar dan nyata apabila bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam lapangan ilmu Sains dan Matematik, seterusnya seolah-olah menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pelbagai usaha telah, sedang, dan akan dijalankan bagi mempertahan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu agar tidak lenyap di telan zaman. Namun, pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dikaji dan diselidik dengan teliti. Bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan adalah bahasa yang baku dan bukannya bahasa pasar mahupun bahasa basahan. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa baku sepatutnya tidak sekadar diaplikasikan dalam urusan-urusan rasmi, malah sepatutnya diamalkan dalam pertuturan sehari-hari. Hal ini demikan kerana setiap individu dalam setiap lapisan masyarakat Malaysia bertanggungjawab mengamalkan dan memelihara serta turut memartabatkan bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan.

2.2  DEFINISI BAHASA BAKU YANG PERLU DIFAHAMI
             Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Empat, bahasa baku ialah bahasa yang teratur dan mantap pelbagai aspeknya seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa, dan lain-lain dan diterima oleh masyarakat sebagai norma penggunaan yang betul, sahih atau bahasa standard. Tidak ramai dari rakyat Malaysia yang betul-betul memahami definisi ataupun pengertian bahasa baku. Oleh hal yang demikian, konsep bahasa baku itu selalunya dikaitkan dengan cara sebutan semata-mata. Ditokok  pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, masyarakat mungkin akan menyangka bahawa sebutan “para peniaga-peniaga” , sebagai bahasa yang sudah baku  hanya kerana penutur itu menyebut kata para dan peniaga sebagai pa(ra) dan penia(ga), bukan pa(re) dan penia(ge). Hal ini demikian mungkin kerana cara sebutan baku lebih menarik dan menjadi perhatian masyarakat berbanding dengan cara pembakuan bahasa yang lain.
            Sebenarnya, kebakuan bahasa bukan sahaja dari aspek sebutan, tetapi juga dari aspek tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Oleh sebab itu, “para-para peniaga...”, walaupun dituturkan dan disebut dalam sebutan baku, bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi pembentukan ayat. Terdapat banyak lagi tanggapan salah terhadap pembakuan bahasa. Ayat-ayat yang disebut dengan bunyi baku dianggap benar-benar baku walaupun ianya bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi tatabahasa. Bentuk yang baku bukan sahaja betul dan sempurna sebutannya, tetapi juga ejaan, kata, dan tatabahasanya. Konteks yang benar mengenai bahasa baku itu perlu difahami dan didalami oleh setiap lapisan masyarakat agar bahasa baku dapat dituturkan dan dimasyarakatkan oleh rakyat Malaysia.

2.3  BAHASA BAKU DAN FUNGSINYA
             Bahasa baku digunakan dalam semua konteks rasmi seperti sistem pendidikan negara dan urusan rasmi kerajaan. Pada hari ini, kita harus menggunakan bahasa baku dalam memberikan ucapan, khutbah, ceramah, pidato, kuliah, dalam mesyuarat atau semasa mengajar. Selain itu, kita juga harus mengaplikasikan bahasa baku dalam urusan surat-menyurat rasmi, laporan, penulisan ilmiah, rencana, berita, peraturan dan undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam. Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memantapkan dan memperlengkap  aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistemnya dari aspek ejaan, tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, gaya bahasa dan larasnya, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan.
             Bahasa sebagai suatu sistem sememangnya perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Sekiranya bahasa dibiarkan berkembang sendiri, ia akan kehilangan sistemnya.  Tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sesebuah negara. Penstrukturan dan pengembangan bahasa Melayu difokuskankan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang  tepat, jelas dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha giat dilaksanakan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan penutur supaya dengannya, penggunaan bahasa baku dapat meliputi seluruh lapisan masyarakat.

2.4  BAHASA BAKU YANG TIDAK DITUTURKAN
           Masyarakat pada hari ini dalam aktiviti berbahasa, kita dapat melihat bahawa bahasa baku jarang-jarang sekali dugunakan. Biasanya, bukan bahasa baku yang digunakan dalam pertuturan masyarakat, tetapi bahasa basahan atau bahasa pertuturan sehari-hari, malah sering kali juga berbentuk bahasa rojak dan juga bahasa pasar. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana bahasa tidak dapat lari daripada aspek sosial. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut seperti hubungan antara penutur, faktor geografi, tujuan, situasi, status, pendidikan, usia, dan jantina. Faktor-faktor tersebut amat mempengaruhu penggunaan bahasa. Oleh sebab itu, pastinya kita selalu mendengar ungkapan seperti ‘apa mau’, ‘kasi tahu’, ‘banyak mahal’, ‘itu macam’, dan ‘boleh bikin’. Malah, mungkin kita sendiri acapkali menuturkannya dalam perbualan sehari-hari dengan teman-teman.
               Bahasa baku dan bahasa pasar ini mempunyai fungsi masing-masing dalam perhubungan. Bahasa baku digunakan dalam situasi rasmi, manakala bahasa basahan digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari dalam situasi tidak rasmi. Penggunaan bahasa pasar dalam perbincangan, mesyuarat, atau seminar, akan menghilangkan kerasmian perbincangan, mesyuarat, atau seminar tersebut. Pertukaran penggunaan kedua-dua ragam bahasa ini akan menimbulkan gangguan terhadap komunikasi. 
                 Kini, kita dapat melihat penggunaan bahasa baku dalam situasi rasmi sering ‘diganggu’ oleh bahasa pasar atau bahasa rojak. Gangguan ini dapat diperhatikan dalam ucapan, wawancara, atau ceramah yang sepatutnya dituturkan dalam bahasa baku. Secara tidak langsung dan sedar, kebiasaan menggunakan bahasa pasar telah membuat kita menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dielak, dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu digiatkan untuk menanamkan dan mengembangkan pemahaman dan kecintaan dalam diri setiap lapisan masyarakat  terhadap bahasa baku.
2.5  LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU BAKU
              Persoalan bahasa Melayu baku, bukanlah isu bahasa yang betul atau tidak betul.  Pembakuan bahasa Melayu merupakan rancangan dan wawasan yang antara lain bermatlamat untuk mewujudkan masyarakat yang padu.  Usaha memperkembangkan bahasa Melayu baku di Malaysia dikatakan mendapat sambutan yang dingin kerana banyak perubahan yang berlaku dalam tatabahasa itu yang didakwa menjadikan masyarakat pengguna bahasa Melayu keliru.  Sebagai kesan ”perubahan yang mengelirukan pengguna bahasa Melayu (baku)”, seolah-olah timbul keengganan untuk menggunakan bahasa Melayu baku.
              Sebenarnya, andaian dan kekeliruan ini memerlukan penjelasan dan kajian terperinci agar tidak wujud masalah yang serius berkaitan pembakuan bahasa Melayu itu sendiri.  Usaha untuk menerangkan situasi itu terasa amat perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan krisis ilmu bahasa dalam kalangan masyarakat.  Apatah lagi, sekarang ini bahasa Melayu sedang diancam dan digugat oleh bahasa Inggeris lantaran daripada era globalisasi dan ekonomi digital. Hal ini demikian kerana kita mahu seluruh masyarakat tahu akan cara menggunakan bahasa Melayu baku terutamanya dalam segala urusan rasmi. Dalam hal ini juga, setiap ahli lapisan masyarakat harus cakna dan belajar untuk menguasai bahasa Melayu baku.
            Antara langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan menanamkan  kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak semenjak kecil. Dalam hal ini sudah pasti tanggungjawab tersebut perlu dijalankan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul terutamanya bahasa Melayu baku apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga mestilah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita agar berulangnya sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman kehebatan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat diterapkan semenjak kecil, bak kata pepatah, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
2.6  HALANGAN DALAM MEMARTABATKAN BAHASA BAKU
              Sungguhpun pelbagai usaha sudah dan sedang giat dijalankan bagi memartabatkan bahasa Melayu baku, masih terdapat pelbagai halangan yang menjadi penghalang dalam mencapai matlamat tersebut. Halangan utama dalam memartabatkan bahasa Melayu baku adalah wujudnya pertuturan dan penggunaan bahasa pasar. Bahasa pasar atau basahan adalah bahasa yang digunapakai dalam pertuturan seharian.  Contohnya, masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan sifat merendah diri terbawa-bawa dengan sikap ini apabila berkomunikasi atau berkomunikasi dengan kaum asing.  Secara tidak langsung mereka telah menjadi model yang salah kepada orang bukan Melayu.  Sebagai contoh, apabila berkomunikasi di pasar, orang Melayu lebih gemar menuturkan bahasa pasar atau bahasa rojak (pidgin). Tindakan ini menyebabkan kaum asing meniru model yang dipertonton kepada mereka. Akhirnya, kaum asing dalam kelompok tersebut sukar untuk menguasai bahasa Melayu baku yang betul sampai bila-bila  pun.
              Selain bahasa pasar yang sememangnya amat sukar diubah tabiat penggunaannya, dialek juga merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, dialek (dialék) bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah, negeri dan lain-lain lagi. Beberapa faktor boleh menyumbang kepada pemilihan dan penggunaan bahasa daerah ini. Contohnya di sekolah, guru-guru mengambil jalan ringkas dan lebih gemar menggunakan bahasa dialek atau daerah sebagai bahasa pengantar dengan alasan murid lebih mudah memahami perkara yang disampaikan oleh guru dan persekitaran pengajaran akan bersifat kondusif dan menghiburkan serta mudah menimbulkan situasi mesra antara guru dan murid.  Namun, tanpa disedari sikap tidak mengambil berat ini akan melahirkan para pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa Melayu. Pada hari kemudian, para pelajar itulah juga yang akan menjadi manusia yang memegang jawatan yang penting dan berpengaruh seperti pentadbir, penulis, pemimpin kaum dan sebagainya.
Dalam konteks masyarakat pula, pemilihan penggunaan bahasa dialek atau daerah ini walaupun dalam situasi-situasi rasmi adalah bertujuan memudahkan komunikasi dan juga mewujudkan perasaan mesra sesama mereka.  Sewajarnya sikap ini dielakkan agar kekeliruan penggunaan bahasa Melayu dapat dibendung dan usaha pembakuan itu dapat mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan.
Halangan yang seterusnya adalah slanga yang galak digunakan dalam kalangan remaja. Menurut Kamus Oxford, slanga didefinisikan sebagai satu perbendaharaan kata yang khusus digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah kedudukannya. Nik Safiah Karim pula mendefinisikan slanga sebagai bahasa terhad kerana mempunyai ciri tertentu dan hanya digunakan dan difahami oleh golongan tertentu sahaja. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, slanga ialah kata, ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, iaitu bahasa yang digunakan dalam pertuturan tidak rasmi. Justifikasinya, bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut sahaja yang dapat memahaminya. Penggunaan bahasa slanga yang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan remaja amat merisaukan ahli bahasa dan pencinta bahasa Melayu kerana bahasa ini dikatakan akan menghalang usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi di negara kita. Kita tidak mahu bahasa slanga ini berleluasa di negara kita dan secara tidak langsung mengurangkan keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
3.0  KESIMPULAN
           Kesimpulannya, bahasa Melayu adalah bahasa yang indah dan unik strukturnya. Bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa kebangsaan atas sebab-sebab yang lain. Bahasa Melayu yang indah mempunyai ramai penutur yang menuturkannya. Oleh hal yang demikian, timbullah isu-isu dan ragam bahasa seperti timbulnya bahasa pasar, bahasa rojak, slanga, dialek dan lain-lain yang semakin lama, semakin mengenepikan pembakuan bahasa yang sepatutnya didahulukan dan dimartabatkan penggunaannya. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu yang diiktiraf adalah bahasa Melayu baku, dan bukan yang lainnya. Kekurangan penutur bahasa Melayu baku juga amat merisaukan dan membimbangkan, apatah lagi pemahaman mengenai definisi dan konteks pembakuan itu sendiri tipis dalam jiwa masyarakat. Pelbagai langkah dan usaha telah, sedang dan akan dijalankan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi membendung gejala pencemaran bahasa serta seterusnya menaikkan kembali fungsi, kemasyhuran dan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan masyarakat Malaysia, bukan sekadar dalam urusan rasmi malah dalam pertuturan sehari-hari.


 BIBLIOGRAFI
1.       Awang Sariyan. (1984). Isu-isu Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti
2.       Mohd Yusof Hasan. (2012). Minda Melayu Global. Tanjong Malim: UPSI
3.       S. Nathesan. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
4.      Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005) Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
5.       Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi? Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.